TAUBAT & MENCARI REDHA ALLAH

APA TERJADI JIKA KITA TANGGUHKAN TAUBAT?

Apabila kita menangguhkan taubat,apa kesannya?

Kesannya dosa yg ada pada diri kita ini menjadi semakin kuat.
Ia mengelapkan hati kita, ia mengotorkan hati kita.
👉Ia memberi kesan pada amalan perbuatan kita.
👉Ia menghilangkan kemanisan dalam ibadah
👉ia mendatangkan kemanisan dalam buat maksiat.
👉Ia menjadikan kita benci pada orang baik-baik,
👉ia menjadikan kita terhibur dengan orang fasik.

Lihat orang yg suka buat dosa, dia suka bergaul dengan orang yang sejenis dengannya...cara berpakaian, cara bercakap..cara berhibur...Pemain-pemain sukan, walaupun lagha....dia suka.

Akhirnya kecenderungannya bukan pada orang baik-baik. Ia mula tak kenal lagi ulama-ulama, orang soleh, orang alim, orang baik-baik dipinggirkan.

Maka orang ni, bila mana ia melakukan kejahatan demi kejahatan...ia rebah...ia dah mula cinta maksiat dan benci kebaikan.

Bila kita biarkan dosa ini tanpa kita segera bertaubat, akhirnya ia menjadi semakin kuat-semakin kuat, hingga satu hari nanti kita tak mampu lagi untuk cabut segala maksiat yg kita lakukan.

Mengapa kita tidak boleh tunda taubat, kerana kita bimbang waktunya tamat tanpa kita sedar....samaada waktu itu tamat sebab kematian kita atau berakhirnya tempoh taubat bila mana matahari naik dari sebelah barat atau nyawa kita sudah sampai ke halkum. Salah satu antaranya kita akan lalui. Waktu itu ALLAH tidak akan terima taubat kita lagi.

ALLAH terima taubat selagimana nyawa belum sampai ke halkum. Sebab itu kita jangan tangguhkan taubat.

Tawaran ALLAH cukup lumayan pada orang yg bertaubat...
😙ALLAH ampunkan dosanya.
😙ALLAH pindahkan orang yg bertaubat dari orang yg dibenci pada orang yg ALLAH sayang, walaupun dia baru bertaubat...dia tak buat apa apa lagi, ALLAH dah istihar ALLAH sayang padanya dan sesungguhnya ALLAH sayang pada orang yg bertaubat.

Syarah kitab 'Bertaubat pada ALLAH'@Dr.Yusof al Qaradawi

******************************************

Jangan Takut Untuk Berubah???

‘Hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini’

Pernah dengar kata-kata ni?

Lepas kita dengar, pada masa yang sama, kita berusaha tanamkan azam walaupun sedikit untuk menjadi lebih baik kan?

Namun, adakah usaha kita itu berjaya? Atau sekadar hangat-hangat tahi ayam sahaja?

Hakikatnya perubahan itu bukanlah sesuatu yang mudah. Kaedah yang betul serta keazaman yang tinggi perlu ada agar kita tidak berpatah balik ke takuk yang lama. Bagaimana? Jom kita kaji!!

Bila di hati kita terdetik untuk berubah, BERUBAHLAH. Jangan tunggu lama-lama. Nanti lama-lama, semangat itu akan pudar. Teringat kata-kata seorang bijak pandai;
 “jika hati tergerak untuk melakukan amal soleh kemudian kita menangguhkannya, kita sebenarnya telah tertipu oleh syaitan”.

Jangan biarkan syaitan menguasai diri kita lagi. Niat untuk berubah adalah anugerah dari Allah. Selepas itu semua terpulang kepada kita sama ada nak ke tak nak.

Dan ingat, jangan takut dengan apa orang lain akan cakap atau fikirkan. Itu semua sebenarnya hasutan syaitan nak tarik kita ikut dia. Kalau ada orang yang kutuk atau bersangka buruk dengan perubahan kita, memang dah sah mereka dengki dengan bakal Ahli Syurga.

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."
(Surah Ar-Ra’d ayat 11)

Perubahan itu haruslah dilakukan secara berperingkat (tadarruj) agar berkekalan. Tidak perlu banyak tetapi berubahlah mengikut kemampuan. Perubahan yang sedikit dan berterusan itu lebih baik daripada perubahan yang drastik tetapi sekejap.

PERUBAHAN CARA BERPAKAIAN
- memakai tudung yang menutupi dada. seeloknya menutupi juga bahu.
- memakai sarung kaki. Boleh dimulakan dengan stokin bewarna coklat muda dan bila dah biasa, sesekala cuba pkai stokin hitam kerana itu lebih baik.
- memakai sarung lengan apabila berbaju long sleeve yg tiada 'kaf' bagi mengelakkan lengan terdedah.
- elakkan memakai baju yg ketat dan singkat. seeloknya pakai baju labuh hingga ke paha.
- seeloknya dipadankan dengan kain/skirt longgar. Jika ingin berseluar, pastikan slack nya longgar.

PERUBAHAN PERTUTURAN
- STOP MENGUMPAT!!!
Dikira mengumpat jika bercerita ttg apa shj yg orang tu tak suka dengar -cerita buruk suami, adik beradik, jiran, juga ARTIS.
- STOP BERCAKAP KASAR!!!
Jaga bahasa. Jangan mencarut, Jangan menyumpah. Cakap dengan lemah lembut terutama dengan suami, anak2, rakan2, jiran2, juga dgn orang yang kita TAK SUKA.

PERUBAHAN HOBI
-Jika dulu suka beli majalah hiburan, tukar dengan beli buku2 berkisah agama terutama buku berkaitan hijrah kehidupan.
-Jika dulu naik keta aje buka radio ERA atau SINAR FM....tukar kpd Radio IKIM yg penuh info n takzirah keagamaan.
-Jika dulu suka dengan LAGU2 CINTAN....tukar dengan mendengar irama zikir yang memuji kebesaran Allah

PERUBAHAN EMOSI DAN CARA BERFIKIR
- Setiap masa cuba tanamkan rasa REDHA atas segala yang berlaku
- Tanamkan rasa yakin yang setiap yang berlaku ada hikmahnya.
- Pupuk rasa sabar. Sentiasa berdoa agar Allah berikan kesabaran yang tinggi dan keredhaan atas ujian Allah.
- Sentiasa berfikiran POSITIF dalam semua keadaan.
- Buang sikap dan emosi negatif spt kuat merajuk, mudah terasa, kuat cemburu, pendendam, suka mengungkit dan suka mengharap balasan. Cuba buang apa saja yg negatif dalam diri.

PERKUKUHKAN SOLAT FARDU
Jaga solat kita. Untuk menjaga solat, benda asas yang perlu dibuat adalah solat sendirian cukup 5 waktu sehari semalam. Ini dikira perkara paling wajib kerana solat itukan tiang agama.

Lepas dah cukup solat, tambahlah sekurang kurangnya satu waktu untuk solat berjemaah dgn keluarga sebab ganjarannya SANGAT BESAR.

Cuba sedaya mungkin untuk solat di awal waktu kerana ini adalah petua utk kita kekal istiqomah dalam usaha mencari cahaya hidayah Allah.

SOLAT MALAM
Bila solat fardu tu dah cantik istiqomahnya, cuba pula untuk bangun SOLAT MALAM. Mulakan dengan solat tahajjud, solat taubat ataupun solat hajat. Insya-Allah, banyak ganjaran yang dijanjikan Allah. Buat permulaan boleh bangun jam 5pagi. Bila dh selesai solat, baca zikir memuji Allah dan berselawat ke atas nabi dan berdoa dengan sesungguh hati. Bayangkan Allah memandang kita waktu kita berdoa. Sementara tunggu subuh, jangan tidur, teruskan dengan bacaan surah Yassin supaya Allah mencukupi keperluan kita pada hari itu.

Bila dah biasa bangun kul 5 tu, cuba niat sebelum tidur "Ya Allah, kejutkan aku untuk solat malam...di saat doa paling mustajab".

LAZIMKAN BERSEDEKAH
Pada setiap hari, lazimkan bersedekah.
- sedekah makanan
- sedekah wang wang utk pembinaan surau/masjid/sekolah/tahfiz
- sedekah ilmu
- sedekah senyuman terutama pada suami..hihi

ORANG SEKELILING PANDANG PELIK?
Rakan ofis, jiran terdekat dan keluarga kita pasti tertanya-tanya akan perubahan kita. Biarkan sahaja mereka.Teguhkan di dalam hati "Aku lakukan semua ini semata-mata kerana Mu Ya Allah"

Mungkin senang berkata tapi susah untuk melakukannya. JANGAN RISAU, sebaliknya CUBA DAHULU dan NIATKAN lah KERANA ALLAH SWT. Insya-Allah, akan dipermudahkan segala urusan.

Al-Fudail bin Iyadh berkata:
"Sesiapa yang memperbaiki hatinya kerana Allah, nescaya Dia akan memperbaiki amal perbuatanmu. Sesiapa yang memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan orang lain."

Jangan takut untuk berubah. Tabahkan hati. Kuatkan iman.

"Mujahadah itu Pahit...kerana, Syurga itu amatlah Manis"

****************************************

MEMBALAS KEJAHATAN DENGAN KEBAIKAN

“Sesungguhnya rahmat Allah Swt amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik.” 
(QS. Al-A’raf: 56)

Pada suatu hari Rasulullah saw bertamu ke rumah Abu Bakar Ash-Shidiq. Ketika sedang asyik berbicara tiba-tiba datang seorang Arab Badwi terus mencela Abu Bakar. Makian kotor serta umpatan-umpatan kasar keluar dari mulut orang itu. Namun, Abu Bakar tidak menghiraukannya. Malah beliau terus melanjutkan perbincangan dengan Rasulullah. Melihat hal ini, Rasulullah memberikan senyum terindahnya kepada Abu Bakar.

Merasa tidak berhasil dan tidak dipedulikan, orang Arab Badwi itu kembali memaki Abu Bakar. Kali ini, makian dan hinaannya lebih kasar. Namun, dengan keimanan yang kukuh serta kesabarannya, Abu Bakar masih tidak menghiraukannya dan tetap membiarkan orang tersebut memaki. Rasulullah kembali memberikan senyum terindahnya. 

Merasa makin tidak dipedulikan, maka semakin menjadi-jadi lah kemarahan orang Arab Badwi ini.

Untuk ketiga kalinya, ia mencerca Abu Bakar dengan makian yang lebih menyakitkan. Kali ini, selaku manusia biasa yg memiliki hawa nafsu, Abu Bakar tidak dapat menahan amarahnya. Dibalasnya makian orang Arab Badwi itu dengan makian pula. 

Terjadilah perang mulut, seketika juga nama-nama satu isi kebun binatang keluar semua, dari mulai kucing sampai unta. Seketika itu juga, Rasulullah beranjak dari tempat duduknya dan langsung meninggalkan Abu Bakar tanpa mengucapkan salam. 

Melihat hal ini, selaku tuan rumah, Abu Bakar sedar dengan kesalahannya dan terus berlari mengejar Rasulullah yg sudah sampai halaman rumah. 

Kemudian, Abu Bakar berkata, “Wahai Rasulullah, jika aku berbuat kesalahan, mohon jelaskan dan maafkan kesalahanku. Jangan biarkan aku dalam kebingungan.” 

Rasulullah lalu menjawab, “Sewaktu orang Arab Badui itu datang lalu mencelamu dan kamu tidak melayaninya, aku tersenyum kerana melihat banyak malaikat di sekelilingmu yang akan membelamu di hadapan Allah.”

Beliau melanjutkan, “Begitu juga keadaannya yang ke-dua kali ketika ia terus menghinamu dan kamu tetap membiarkannya, maka para malaikat semakin bertambah banyak jumlahnya di sisimu. Oleh sebab itu, aku semakin tersenyum. 

Namun, ketika yang ke-tiga kali ia menghinamu dan kamu menanggapinya serta kamu membalas makiannya, maka seluruh malaikat pergi meninggalkanmu, dan hadirlah iblis di sisimu untuk semakin memanasimu. Oleh sebab itu, aku tidak ingin berdekatan dengannya, dan aku tidak memberikan salam kepada kamu.”

JADI, BILA ORANG MAKI KITA....KENA BERUSAHA UTK TERUS BERSABAR DAN DIAM SAHAJA. MOGA ALLAH MEMBALASNYA BAGI PIHAK KITA.



JANGAN MARAH

Dalam suatu kejadian, seorang sahabat meminta nasihat daripada Rasulullah ﷺ, lalu Baginda bersabda, “Janganlah kamu marah.”

Sahabat lain pula bertanya, “Apakah yang dapat menyelamatkan daku daripada kemurkaan Allah?” Maka jawab Rasulullah ﷺ: “Jangan tunjukkan kemarahan kamu.” 

Sahabat yang lain pula meminta satu amalan kebaikan yang mudah untuk dilakukan, maka sabda Rasulullah ﷺ, “Janganlah marah!”

Rasulullah ﷺ Juga Manusia Biasa

Sebagai manusia biasa, Rasulullah ﷺ juga berasa marah. Namun Rasulullah ﷺ tidak pernah menunjukkan kemarahan itu dengan lidah atau perbuatannya. Apabila Baginda marah, para sahabat mengetahuinya dengan melihat wajah Baginda berubah menjadi merah dan peluh menitis di dahinya. Baginda juga akan senyap untuk beberapa ketika bagi mengawal rasa marahnya.

Firman Allah سبحانه وتعالى:

وَإِن تَعْفُوا۟ وَتَصْفَحُوا۟ وَتَغْفِرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌۭ رَّحِيمٌ

“Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
(Surah At-Taghabun ayat 14).


Rasulullahﷺ menjanjikan balasan yang baik di akhirat kepada sesiapa yang berjaya menahan marahnya. 

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Tirmizi, Baginda bersabda; “Sesiapa yang menahan marahnya sedangkan dia mampu melempiaskan marahnya, Allah سبحانه وتعالى akan memanggilnya dari kalangan makhluk pada hari kiamat dan dia diberi peluang memilih bidadari yang ia sukai di syurga.”

**********************************************

Ramai isteri nak "berubah" tapi tunggu suami ada di samping..

Ramai suami leka beribadah, 
hingga si isteri dibiarkan tak dibimbing...

Ramai ibubapa kuat bermuhajadah dan istiqomah... tapi anak-anak dibiarkan terumbang-ambing...

Bila tengok rumahtgga org lain bahagia, kita jeles.
Bila tengok anak2 orang lain terdidik dengan tarbiah islam, kita jeles.

Sebenarnya, itu semua tidak datang dengan mudah...
dalam setiap didikan ada getirnya...ada dugaannya..
anak2 tak dilahir terus tertarbiah.

Si bapa kena berubah
Si ibu lebih-lebih lagi kena mulai langkah.

Cekalkan hati
melawan keinginan duniawi...
matahari terbit dari barat tak berapa lama lagi.


************************************************

TAK RUGI BERHIJRAH

Ilmu ini umpama sbtg pokok, buahnya adalah amal.

Akak dulu dtg dpd keluarga yg "biasa2" saja..jadilah akak orang yang "biasa2" dengan ilmu yang biasa2 juga.

Masa tu kita tak rasa berdosa tak tutup aurat dgn sempurna, bertudung jarang n singkat, kaki dan lengan kita xrasa itu aurat yg perlu ditutup. Pakai baju fit dengan bangganya. Bersanggul tinggi itu tak tinggal. Pelik pada pandangan mata kita bila tengok ada orang berstokin hatta bersarung lengan.

Rendahnya iman masa tu..

Walaupun mmg pada asalnya bukan jenis kaki mengumpat tapi kita juga tak rasa berdosa bila kadang2 bercakap pasal orang.

Kita tak rasa bersalah bila lewat2kan solat.

Kita jg tak rasa bersalah bila tetiba amarah datang..cakap jerit-jerit dengan bangganya..konon aku hebat orang gerun dengan aku.

Bila ada artis kat tv kata "kita kalau nk berhijrah, hati kena betul ikhlas baru lah perubahan kita berkekalan..", kita pun sepenuh hati mengiakan pandangan tersebut dan kata2 itu mcm tertanam dlm jiwa. Seterusnya tanpa rasa bersalah kita meneruskan hidup yang sebegitu bertahun-tahun sambil menunggu datangnya IKHLAS itu.

**********
Sesungguhnya hidayah itu milik Allah. Akhirnya kita "ditegur Allah" secara halus menerusi ujian-ujian yang ditimpakan.

Rupa-rupanya proses menunggu hadirnya IKHLAS  ini terjadi bila kita KEKURANGAN ILMU.

Punca kurang ilmu bila kita jarang2 sekali mendengar tazkirah2 agama, jarang sekali membaca buku2 agama, apatah lagi melangkahkan kaki menghadiri majlis2 ilmu .

BERIMU TAPI TIADA AMAL

Ada juga orang yang asalnya berilmu, agak kuat agamanya, tapi akhirnya kecundang dengan godaan kenikmatan dunia. Misalnya dulu masa sekolah bertudung labuh tapi bila bermasyarat, sedikit demi sedikit mengubah penampilan. Orang seperti ini bukan asalnya dia tidak ikhlas tapi  kerana dia TIDAK BERAMAL dgn ilmu yang sedia ada dalam jiwanya.

Pertanyaan,
kenapa ada ilmu tapi tidak beramal ?
Jawapannya kerana👉 TIDAK TAKUT PADA ALLAH

Kenapa ada ilmu tp tidak boleh istiqomah?
Jawapannya kerana👉 TIDAK TAKUT PADA ALLAH

*************
Mari kita fahami maksud tazkirah.

Tazkirah itu maksudnya PERINGATAN yang perlu didengar berulang-ulang.

Soalan : Dalam 1hari, berapa jam kita dengar tazkirah?

Kalau dalam 1 minggu, 1jam pun takde...patut lah kita sukar untuk berubah. Patutlah dah elok2 bertudung labuh tanpa malu dengan Allah kita bertukar ke tudung pendek.

TIPS KEMBALI KEPADA FITRAH KEJADIAN KITA.

👉Mulai saat ini serapkan dalam jiwa RASA TAKUT PADA ALLAH.
👉Bayangkan AZAB NERAKA yang menanti orang yg suka mengumpat, suka berprasangka buruk, kerap menyakitkan hati org lain dgn setiap bicara, malas dalam ibadah.
👉Awal2 ni buka youtube dan dengar berulang2 pelbagai tazkirah dan setiap ilmu diamalkan.
👉Hadiri majlis2 ilmu dan amalkan ilmu2 tersebut.

Tanda2 ilmu yg kita amalkan itu ilmu yg baik, perangai kita menjadi bertambah baik dan kita seronok beramal dengannya.

Semalam bila ramai yang bertanya macamana nak istiqomah...mcmna nak atasi amarah...masa tu tak dapat nk bagi tips n penerangan yg detail sebab merasakan tiada ilmu tentang itu.

Alhamdulillah sangat2..syukur ya Allah..pagi ni diperdengarkan tazkirah ustazah norhafizah yang menerangkan dgn detail tentang masalah ini. Allah maha mendengar dan mengabulkan doa.😭

***********
Mungkin dalam hati orang orang yang belum berhijrah, mereka tertanya2 apa kesannya pd kehidupan bila kita berhijrah?

Jawapan :
Bila kita berhijrah, bermaksud kita
👉membaiki hubungan kita dgn ALLAH
👉membaiki hubungan kita dengan MAKHLUK ALLAH.

Percayalah, dengan mengingati Allah hati menjadi tenang.

Kata ustazah, kesan dpd peningkatan iman :
1. Boleh mengawal amarah
2. Terasa doa mudah dimakbulkan
3. Urusan dunia Allah permudahkan
4. Sentiasa tenang menghadapi masalah.
5. Rezeki terasa sentiasa dilapangkan.
Kesemua hikmah penghijrahan ini sedang kukecapi dengan rasa penuh kesyukuran. Alhamdulillah.

~tidak rugi berhijrah~

******************************************

CUKUP BAIKKAH KITA??

Allah swt menegur hambanya yang terleka dengan dunia melalui ujian-ujian yang ditimpakan. Terpulang pada kita sama ada kita ingin melihat ujian-ujian ini sebagai lumrah kehidupan yang kosong erti atau TARBIAH BERMAKNA dari Allah swt.

Bersyukurlah dan berbahagialah bagi orang yang memandang ujian hidup ini sebagai TEGURAN dari Allah untuk kita kembali kepadaNya dengan berhijrah dan memperbaiki diri.

Tetapi, ramai juga yang tak faham dengan maksud "membaiki diri".

Pertanyaan biasa barangkali,
"Baiki dari segi apa? Rasanya aku ok aje...aku solat...aku tutup aurat..aku tak jahat dengan orang..aku baik aperr...apa lagi nak diubah???"

Betul ke tak perlu ubah apa-apa?
Jawab soalan2 ni dengan ikhlas.

1. Rasa diri ni "BAIK" ?
2. Ada ramai kawan baik atau ramai musuh?
3. Disukai adik beradik, ipar duai ke tak?
4. anak kesayangan ayahanda bonda?
5. menantu kesayangan?
6. ramai kawan2 yg solehah atau ramai kawan geng kaki mengumpat?
7. jaga tak batas2 dengan lelaki ajnabi?
8. Masa bercakap kita suka guna bahasa yang menyakitkan hati orang atau menenangkan hati orang?
9. Perasaan kita tu selalu resah, sakit hati atau selalu tenang?
10.Kerap marah atau kerap senyum?
11. Wuduk sempurna tak?
12. Solat macam nabi solat? Awal waktu?
13. Pernah buat solat Rawatib, Dhuha, Tahajud, Taubat, Witir?
14. Rajin baca quran? betul tak tajwid nyer? Ada baca sekurang-kurangnya 83 ayat sehari (melazimi surah yasiin)?
15. puasa wajib dah ganti? Puasa2 sunat  pernah menyusul?
16. Suka bersedekah? Selalu belanja kawan2 makan? Suka tolong orang?
17. Aurat tutup sempurna tak?
Selama ni TUTUP atau BUNGKUS aurat?
18. Selama ni tudung besar tutup dada?
19. Pakai baju kurung dengan sarung lengan? Atau sarung lengan pakai time baju short sleeve (balut aurat)?
20. Kaki tutup? Tak rasa janggal kalau tak berstokin?
21. Suka baca sirah2 nabi?
22. Sunnah2 nabi jadi amalan harian?

Jika jawapannya banyak yang TAK PASTI, anda perlu bertindak segera sebelum DOSA MAKIN MENIMBUN...
sebelum ANDA DIJEMPUT ILAHI.

Fahamilah, kita menutup aurat dengan sempurna bukan bermakna kita sudah solehah tetapi itu adalah proses untuk kita menjadi wanita yang solehah.

Kita berusaha untuk solat dengan sempurna bukan bermakna kita sudah solehan tapi itu merupakan proses kita menjadi wanita solehah dengan akhlak yang baik.

Malu itu adalah iman.
Tapi kenapa kita selalu malu tak bertempat.

Kita sepatutnya malu dengan Allah kerana berpakaian tak ikut syariat tapi KITA TAK MALU.

Kita sepatutnya malu dengan Allah kerana TIDAK SOLAT dengan sempurna tapi KITA TAK MALU.

Ini berlaku kerana masalah IMAN. Inilah maksudnya ramai orang yang ada agama tapi takde iman kerana tak mengamalkan agama itu sepenuhnya.

Jelasnya, nak jadi orang yg beragama, kena jadi orang baik dulu kerana org yg baik Allah akan pandu dirinya utk melihat kebaikan. Contohnya Siti Khadijah itu orang yang baik...oleh itu Allah pandu dirinya untuk memilih pasangan yg baik...sebab itu jodohnya Nabi Muhammad saw.

Sebenarnya, ramai orang yg ada agama tapi amat sedikit orang yang hidup beragama. Iaitu orang yan tegakkan islam dlm dirinya.

Malulah dengan Allah swt.

****************************************

MALU NAK BERPAKAIAN IKUT SYARIAT ALLAH?

Saya malu lah nak pakai tudung labuh, pakai stokin, saya ni bukan baik sangat, " kata seorang perempuan.

Malu. Malu selalu diletakkan pada tempat yang salah.

Malu paling utama ialah malu kepada Allah.

Bila Allah dah perintahkan kita menutup aurat dengan sempurna, kita malu kepada Allah kalau kita tak taat perintahnya. Sebab kita hanya hamba, siapa kita dihadapan Allah?

"saya bukan baik sangat"
Merasakan diri kita tidak baik sangat itu suatu kebagusan... tapi bagaimana kita menghayati ayat "saya bukan baik sangat"?

Kalau kita sedar kita bukannya baik sangat, bukan ahli syurga, sepatutnya kenalah perbanyakkanlah amal kebaikan, mengikut perintah Allah...bukan menjadikan alasan saya bukan baik sangat untuk mengelak melakukan amalan kebaikan.

******************************************

JANGAN BERHENTI MENCARI REDHA ALLAH

Jelesnya dengan orang tu...baru peluk Islam beberapa tahun, tapi dah boleh bagi ceramah agama..Dah tulis buku dah pun..."

Malunya rasa. Saya yang sejak lahir sudah beragama Islam (alhamdulillah,;-D) tetapi masih juga tak mampu nak bagi ceramah agama di khalayak ramai. Rasa seperti ilmu di dada masih terlalu sedikit. Ah, malunya rasa.

# MANISNYA ISLAM

Manisnya memeluk agama Islam oleh seorang muallaf takkan sama dengan manisnya rasa apabila sejak lahir sudah memeluk Islam.

Sebab itulah mereka begitu menghargai Agama Islam yang baru mereka anuti dan mereka begitu bersemangat untuk menuntut segala ilmu tentang Islam.

Kita pula?
Sejak lahir sudah beragama Islam, maka kita tak rasa apa-apa (minta dijauhkan rasa sebegitu).

Amat kesian jika kita rasa kita beragama Islam sebab mak ayah kita beragama Islam. Mereka solat, kita solat. Mereka puasa, kita puasa.Tu aje amalan kita. Islam tu umpamanya seperti agama untuk menunaikan solat dan ibadah puasa saje.

Sedangkan Islam itu sebenarnya merupakan The Way of Life. Setiap apa yang kita lakukan, mestilah selaras dengan syiar Islam dan segalanya diniatkan hanya kerana Allah.

# MANISNYA BERTUDUNG LABUH

Manisnya bertudung labuh, oleh mereka yang baru menyambut hidayah Allah untuk bertudung labuh, takkan sama perasaanya dengan mereka yang sejak kecil lagi sudah bertudung labuh.
Di mana ahli keluarganya semua bertudung labuh.
Dihantar pula ke tadika agama, sekolah rendah agama, dan sekolah menengah agama, dan seterusnya di Universiti Islam pula.

Ya, takkan sama, berbanding mereka yang baru bertudung labuh..
Tercari-cari tudung labuh di kedai-kedai kerana tiada tudung labuh di rumah.
Dan terpaksa menabahkan diri untuk memakai tudung labuh di hadapan ahli keluarga yang semuanya pakai tudung biasa sahaja. Terpaksa juga menebalkan telinga tatkala mendengar...

"aiii...dah macam ustazah pulak"

"pakai tudung biasa je dah la...tak payah labuh sangat"

Adakah kita hendak menyalahkan takdir kerana kita dilahirkan dalam lingkungan keluarga yang "biasa2 sahaja?"

Eh...janganlah menyalahkan takdir. Tak puas hati dengan takdir samalah juga seperti kita menyalahkan Sang Pencipta. Seolah-olah Allah itu tidak adil.

Sedangkan Allah itu maha adil!
Maha bijaksana!
Dan Dia tahu cara terbaik untuk mentarbiyyah dan menguji kita!
Pasti ada sebabnya mengapa Dia uji kita sebegitu!

Sedangkan Allah telah berfirman: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?"
(QS Al-Ankabut:2-3).

Jadi, kesimpulannya...

☆☆Jangan berputus asa untuk mencari hidayah Allah. Sesungguhnya hidayah-Nya itu perlu dicari! Bukan ditunggu.

"Meskipun tiada manusia yang sempurna, sentiasalah berusaha untuk bergerak ke arah kesempurnaan. Kerana sekurang-kurangnya apabila ajal menjemput kita nanti, walaupun belum sempurna, kita sudah hampir kepada kesempurnaan"-Hilal Asyraf

☆☆Sentiasa ajak sahabat kita ke arah kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. (*ini mungkin agak susah, tapi berusaha lah*)

~Aku yang mencari redhaMu~

******************************************



No comments:

Post a Comment