Friday, May 2, 2014

ISTIDRAJ

Aku Berdosa Tapi Aku Berjaya.

Kita tahu bahawa ILMU itu CAHAYA, dan cahaya ini tidak akan memasuki hati-hati yang gelap, tetapi kita lihat, kawan kita yang akhlaknya buruk, suka berpoya-poya, boleh berjaya pula, sedangkan kita terkial-kial untuk berjaya walaupun sudah berusaha. Kita tahu bahawa, siapa yang berbuat baik, taat kepada ALLAH akan dipermudahkan jalan kehidupannya, tetapi kita lihat, kawan kita ini tidak solat, tetapi bisnesnya menjadi, kita pula hidup dengan penuh cabaran dan dugaan.

Jangan merasa pelik, Inilah kurniaan Allah yang dinamakan ISTIDRAJ!!!

Rasullulah s. a. w. bersabda :”Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka),ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT.”
(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Fahamilah bahawa Istidraj itu adalah keadaan apabila ALLAH memberikan kejayaan, kekayaan, rezeki yang melimpah ruah agar manusia ini menjadi lebih jauh dariNya kerana ketika ini juga Allah buatkan ia lupa beristighfar dan lupa mengingati Allah.

Kenapa ALLAH menghukum manusia sebegini dengan istidraj ? Kenapa ALLAH tidak memberi hidayah saja dan menyedarkan mereka ?

Itu karena hidayah tidak akan diberikan kepada mereka yang menutup hatinya dan tidak bersedia menerima petunjuk ALLAH, bahkan mereka menjadikan kebaikan yang diajarkan ALLAH sebahai bahan untuk mengolok-olok.

Hidayah hanya bisa saja datang kepada seorang pendosa jika mereka ini berusaha untuk berubah dengab membuka pintu hatinya untuk menerima petunjuk-petunjuk ALLAH.

MUHASABAH DIRI
Sebenarnya, apakah yang akan timbul dalam hati kalian apabila kalian ini jenis yang melazimi dosa-dosa, melakukan maksiat, kemudian kalian berjaya di dalam peperiksaan atau perniagaan. Apakah  agaknya yang akan timbul dalam jiwa kalian?

Saya yakin, 99% akan merasa begini, “ Tengok, aku tak solat pun berjaya. Siapa kata kena solat untuk kejayaan?”

Apakah yang sebenarnya sedang terjadi kepada anda? Sedarlah....Anda sebenarnya telah diISTIDRAJ oleh Allah swt. Dan anda sebenarnya perlahan-lahan dalam proses untuk dibinasakan. Tak percaya? Nak bukti?

Sesungguhnya hal ini telah dinyatakan dalam al Quran :
* (QS. Al-An’am: 44)
“Tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa.”

* (QS. Al-Qalam: 44)
“Nanti Kami akan menghukum mereka dengan berangsur-angsur (ke arah kebinasaan) dari arah yang tidak mereka ketahui.”

Pastinya, semua tindakan maksiat yang Allah balas dengan nikmat, dan ketika itu Allah membuat dia lupa untuk beristighfar, sehingga dia semakin dekat dengan azab sedikit demi sedikit, selanjutnya Allah berikan semua hukumannya, itulah istidraj.

DAH TAKUT? Baca lagi...

MANUSIA ISTIDRAJ Adalah manusia yang lupa daratan. Walaupun berbuat maksiat, dia merasa Allah menyayanginya. Mereka memandang hina kepada orang yang beramal. “Dia tu siang malam ke masjid, basikal pun tak mampu beli, sedangkan aku ke kelab malam pun dengan kereta mewah. Tak payah beribadat pun, rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia tu sikit ibadat tentu boleh kaya macam aku, katanya sombong.” Sebenarnya, kadang-kadang Allah memberikan nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya.

Siapa Qarun?
Dia ini adalah seorang manusia yang teramat kaya. Ada sesetengah riwayat menyatakan Qarun ini sepupu kepada nabi Musa. Hartanya melimpah luah. Anak kunci gudang hartanya sahaja kena dibawa oleh 40 ekor unta.
Bila Nabi Musa cuba mengingatkannya berkenaan semua kekayaannya itu datang daripada ALLAH,  Qarun dengan angkuh menjawab,
“ Tidak, semua ini adalah hasil dari… ILMUKU"
Dia nyata semakin jauh dari ALLAH, walaupun kekayaannya menjadi, rezekinya melimpah ruah. Dia saban waktu memperlekehkan pengikut-pengikut nabi Musa yang terdiri dari orang miskin dan hamba. Apakah pengakhiran Qarun? Dia akhirnya ditenggelamkan ALLAH ke dalam bumi dengan seluruh hartanya. Kisah ini terdapat di dalam Al-Quran. Jadi kalau kita kaya, jangan sangka Allah sayang, Qarun lagi kaya, akhirnya binasa juga.

Siapa tak kenal Firaun?
Hebatnya Firaun ini, dia tidak pernah sakit, bersin pun tidak pernah kerana Allah berikannya nikmat kesihatan. Orang lain selalu sakit, tapi Firaun tidak, orang lain mati, namun dia masih belum mati-mati juga, sampai rasa angkuh dan besar diri lantas mengaku dirinya tuhan. Tapi dengan nikmat itulah Allah binasakan dia.

Ingat kisah Namrud yang cuba membakar Nabi Ibrahim? Betapa besar pangkat Namrud? Dia begitu sombong dengan Allah, akhirnya menemui ajalnya hanya disebabkan seekor nyamuk masuk ke dalam lubang hidungnya.

WAHAI ORANG BERIMAN
Maka jangan gusar bila tidak berjaya. Sesungguhnya kejayaan itu sebenarnya ujian, kekayaan juga ujian. Tersilap langkah, kejayaan dan kemewahan boleh menjerumuskan kita ke lembah kehinaan.

Hubungan keimanan anda dengan ALLAH itulah yang pertama sekali perlu anda perhatikan. Jika anda berjaya membina hubungan keimanan yang baik, insyaALLAH, datanglah badai apa sekalipun, anda akan mampu melaluinya.

Sebenarnya ALLAH suka menguji hamba-hambaNya yang beriman. Bila Allah merasakan darjat yang disediakan untuk hambanya itu tidak akan mampu dicapai dengan amalan soleh semata-mata, maka Allah berikan ujian agar hamba kesayangan Allah ini bersabar dan bersyukur tatkala menerima ujian dan seterusnya mencapai darjat tersebut kerana pahala sabar itu teramatlah BESAR!!!

Terdapat satu kisah yang saya suka baca ketika saya masih kecil.

KISAH DUA NELAYAN
Terdapat dua orang nelayan. Seorang penyembah berhala, dan seorang lagi muslim yang taat kepada ALLAH. Ketika menebar jala, yang menyembah berhala menyebut nama berhalanya, manakala yang muslim membaca bismillah. Bila jala diangkat, yang menyembah berhala mendapat banyak ikan, manakala yang muslim, hampir sahaja tiada ikan untuknya pada hari itu.

Malaikat yang melihat keadaan itu bertanya kepada ALLAH.
“ Ya ALLAH, apakah yang telah berlaku? HambaMu yang menyekutukanMu, KAU berikan dia rezeki yang banyak, sedangkan hambaMu yang menyebut namaMu, KAU tidak memberikan DIA apa-apa”

ALLAH menjawab,
“ Yang menyekutukanKu, tempatnya memang sudah pasti NERAKA. Maka apalah sangat rezeki yang pasti akan hancur itu jika Kuberikan kepadaNya?

Tetapi HambaKu yang beriman itu, AKU hendak mengganjarkannya SYURGA, maka AKU suka mengujinya untuk melihat kebenaran imanNya”

Nah, jangan anda kecewa bila diuji, tidak berjaya di dalam peperiksaan walau sudah study, gagal dalam perniagaan walau kemas menyusun strategi. Itu semua adalah sebahagian dari ujian ALLAH. ALLAH menguji hanya untuk mereka yang dikasihi.

Bukankah ALLAH SWT ada berfirman,
“ Apakah kamu mengira KAMI akan membiarkan kamu berkata kami beriman sedangkan kamu belum diuji?…”

Jika gagal terhadap satu-satu perkara, senyumlah...anda masih belum gagal dalam kehidupan. Teruskan usaha, selagi nyawa masih ada. InsyaALLAH ALLAH akan memberikan sesuatu yang bermakna kepada anda. Bersangka baiklah kita kepada PENCIPTA kita.

Maka sebenarnya, bila hidup kita digegarkan dengan masalah, hendaklah kita rasa bersyukur. Tandanya, ALLAH masih lagi dekat dengan kita. Ujian adalah tanda kasih sayang dan perhatianNya kepada kita.
Mustahil anda suka senang sebentar di dunia, di akhirat yang kekal abadi nanti anda merana. Anda mahukan istidraj?

Saya yakin tidak..

Anda tenang sekarang?

Anda wajib untuk tidak berasa tenang jika anda berbuat dosa, dan anda berjaya. Sebab itulah, muhasabah diri itu penting. Untuk kita sentiasa periksa bagaimanakah hubungan kita dengan ALLAH SWT.
Aku berdosa, tetapi aku berjaya…. Berhati-hatilah kita agar jangan sampai lafaz itu, atau lafaz-lafaz yang membawa maksud serupa itu terkeluar dari mulut kita.
Mari kita sama-sama duduk, dan bermuhasabah semula.

Sekiranya dirasakan bermanfaat, silakan like & share untuk peringatan bersama.

****************************************

ASAL KISAH SUBHANALLAH 33X, ALHAMDULILLAH 33X, ALLAHUAKBAR 33X DINAMAKAN ZIKIR FATIMAH

Kisah Puteri Rasulullah s.a.w. yang bernama Siti Fatimah r.ha. Gembira hatinya, gembiralah Rasulullah s.a.w.Tertitis air matanya, berdukalah baginda. Dialah satu-satunya puteri yang paling dikasihi oleh junjungan Rasul selepas kewafatan isterinya yang paling dicintai, Siti Khadijah. Itulah Siti Fatimah r.ha., wanita terkemuka di dunia dan penghuni syurga di akhirat.

Bersuamikan Sayyidina Ali bukanlah satu kebanggaan yang menjanjikan kekayaan harta. Ini adalah kerana Sayyidina Ali yang merupakan salah seorang daripada empat sahabat yang sangat rapat dengan Rasulullah s.a.w, merupakan kalangan sahabat yang sangat miskin berbanding dengan yang lain. Namun jauh di sanubari Rasulullah s.a.w. tersimpan perasaan kasih dan sayang yang sangat mendalam terhadapnya.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepadanya, “Fatimah lebih kucintai daripada engkau, namun dalam pandanganku engkau lebih mulia daripada dia.”
(Riwayat Abu Hurairah)

WANITA PILIHAN UNTUK LELALI PILIHAN

Fatimah mewarisi akhlak ibunya Siti Khadijah. Tidak pernah membebani dan menyakiti suami dengan kata-kata atau sikap. Sentiasa senyum menyambut kepulangan suami hingga hilang separuh masalah suaminya. Dengan mas kahwin hanya 400 dirham hasil jualan baju perang kepada Sayyidina Usman Ibnu Affan itulah dia memulakan penghidupan dengan wanita yang sangat dimuliakan Allah di dunia dan di Akhirat.

Bukan Sayyidina Ali tidak mahu menyediakan seorang pembantu untuk isterinya tetapi sememangnya beliau tidak mampu berbuat demikian. Meskipun beliau cukup tahu isterinya saban hari bertungkus-lumus menguruskan anak-anak,memasak, membasuh dan menggiling tepung, dan yang lebih memenatkan lagi bila terpaksa mengandar air berbatu-batu jauhnya sehingga kelihatan tanda di bahu kiri dan kanannya.

Suami mana yang tidak sayangkan isteri. Ada ketikanya bila Sayyidina Ali berada di rumah, beliau akan turut sama menyinsing lengan membantu Siti Fatimah menggiling tepung di dapur. “Terima kasih suamiku,” bisik Fatimah pada suaminya. Usaha sekecil itu, di celah-celah kesibukan sudah cukup berkesan dalam membelai perasaan seorang isteri.

Suatu hari, Rasulullah s.a.w. masuk ke rumah anaknya. Didapati puterinya yang berpakaian kasar itu sedang mengisar biji-biji gandum dalam linangan air mata.

Fatimah segera mengesat air matanya tatkala menyedari kehadiran ayahanda kesayangannya itu. Lalu ditanya oleh baginda,“Wahai buah hatiku, apakah yang engkau tangiskan itu?Semoga Allah menggembirakanmu”

Dalam nada sayu Fatimah berkata, “Wahai ayahanda, sesungguhnya anakmu ini terlalu penat kerana terpaksa mengisar gandum dan menguruskan segala urusan rumah seorang diri. Wahai ayahanda, kiranya tidak keberatan bolehkah ayahanda meminta suamiku menyediakan seorang pembantu untukku?”

Baginda tersenyum seraya bangun mendapatkan kisaran tepung itu. Dengan lafaz Bismillah, Baginda meletakkan segenggam gandum ke dalam kisaran itu. Dengan izin Allah, maka berpusinglah kisaran itu dengan sendirinya. Hati Fatimah sangat terhibur dan merasa sangat gembira dengan hadiah istimewa dari ayahandanya itu. Habis semua gandumnya dikisar dan batu kisar itu tidak akan berhenti selagi tidak ada arahan untuk berhenti,sehinggalah Rasulullah s.a.w. menghentikannya.

Berkata Rasulullah s.a.w. dengan kata-kata yang masyhur, “Wahai Fatimah, Gunung Uhud pernah ditawarkan kepadaku untuk menjadi emas, namun ayahanda memilih untuk keluarga kita kesenangan di akhirat.” Jelas, Baginda Rasul mahu mendidik puterinya bahawa kesusahan bukanlah penghalang untuk menjadi solehah.
Ayahanda yang penyayang terus merenung puterinya dengan pandangan kasih sayang, “Puteriku, mahukah engkau kuajarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kau pinta itu?”

Tentu sekali ya Rasulullah,” jawab Siti Fatimah kegirangan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jibril telah mengajarku beberapa kalimah. Setiap kali selesai sembahyang, hendaklah membaca ‘Subhanallah’ sepuluh kali, ‘Alhamdulillah’ sepuluh kali dan ‘Allahu Akbar’ sepuluh kali. Kemudian ketika hendak tidur baca ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’ dan ‘Allahu Akbar’ ini sebanyak tiga puluh tiga kali.”

Ternyata amalan itu telah memberi kesan kepada Siti Fatimah. Semua kerja rumah dapat dilaksanakan dengan mudah dan sempurna meskipun tanpa pembantu rumah.
Itulah hadiah istimewa dari Allah buat hamba-hamba yang hatinya sentiasa mengingatiNya.

Jadi, selepas solat dan sebelum tidur jangan tinggalkan Zikir Fatimah ni ye.







No comments:

Post a Comment